SELAMAT DATANG KE LADANG BEDIMAN PASIR PANJANG ULU MUKIM KG GAJAH….”BUDI DISEMAI HASIL DITUAI”….


Ladang Bediman terletak di Kg. Bediman, Pasir Panjang Ulu di dalam Mukim Kg. Gajah, Perak. Mula diusahakan secara rasminya pada penghujung tahun 2007. Idea pembukaan ladang ini tercetus melalui perbincangan tidak rasmi diantara 4 orang adik beradik iaitu Khairudin, Khaizanariah, Kamarunizam dan Khairi bersama ayahanda Tuan Haji Borhanudin bin Abdullah dan bonda Pn. Hjh Roba'ah bt Nasir semasa pulang berhari raya di kampung halaman. Pada mulanya pembukaan ladang ini hanya melibatkan beberapa ekar tanah kepunyaan anggota keluarga dan saudara mara. Namun dengan berkat usaha dan bantuan ayahanda Tn. Hj. Borhanudin bin Abdullah, akhirnya tandatangan persetujuan daripada tuan tanah untuk mendapatkan kebenaran mereka bagi menyewa tanah berkenaan telah berjaya diperolehi dan kini keluasan projek telah mencapai sehingga 31 ekar khususnya untuk Projek Penanaman Kelapa Sawit Fasa 1. Projek Ladang Bediman ini melibatkan penanaman kelapa sawit dan tanaman kontan seperti pisang. Sebanyak RM40,000.00 telah disuntik sebagai modal permulaan bagi melaksanakan projek penanaman kelapa sawit di Ladang Bediman ini. Pada peringkat permulaan projek ini dimulakan pelbagai masalah dihadapi antaranya gangguan daripada haiwan liar seperti khinzir hutan yang telah banyak memusnahkan anak-anak pokok sawit yang ditanam. Ini diikuti dengan masalah untuk mendapatkan anak-anak pokok sawit yang matang yang agak sukar diperolehi. Walaubagaimanapun, setiap masalah yang dihadapi berjaya ditangani dengan berkat kesabaran dan kesungguhan dalam melaksanakan pembukaan Ladang Bediman ini. Pelbagai bantuan dari segi anak pokok sawit, kewangan, baja dan khidmat nasihat telah turut diperolehi melalui RISDA dalam usaha pihak kerajaan membantu merealisasikan pembukaan ladang secara besar-besaran ini. Jasa Tn. Hj. Borhanudin dan Pn. Hjh Robaah bt Nasir dalam merealisasikan impian anak-anak mereka mempunyai ladang sawit sendiri amat besar ertinya dan tidak akan sekali-kali dilupakan. Jualan sulung hasil sawit yang dikeluarkan oleh Ladang Bediman adalah pada 13 Julai 2010 iaitu seberat 1160 Kg bersamaan dengan RM432. Kini dari bulan ke bulan hasil sawit yang dikeluarkan oleh Ladang Bediman semakin bertambah. Semoga rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T berkat usaha berbudi kepada tanah ini dapat dikongsi bersama.